Wednesday, April 28, 2010

INDAHNYA AIR @ WATER @ AL-MA’


Bismillahirohmanirohim…


Setinggi-tinggi kesyukuran hanya kepadaNYA Allah SWT yang Maha Esa Tuhan Sekalian Alam. Walaupun berada dalam minggu exam, aku masih mencuri masa untuk mengupdate blog yang beberapa hari aku tinggalkan. Exam-Exam jugak, tapi kekasih di alam maya ini tetap aku rindui selalu…Rasa terdetik untuk bercerita mengenai Bumi Sabah iaitu Negeri di Bawah Bayu yang kini di landa pemanasan global. Pemanasan global ini boleh mengakibatkan beberapa kesan positif dan negatif kepada kita semua.

Seperti semua sahabat-sahabat sedia maklum, dalam keadaan cuaca yang sebegini…Kita semua digalakkan untuk meminum air dalam kuantiti yang banyak dalam seharian kita. Tidak kira siapa dia lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang tua atau remaja-remaja yang bakal menerajui Negara pada masa hadapan (Insya Allah…).

Semua sahabat-sahabat tahu, minum air adalah sangat penting dan sangat baik untuk kesihatan. Tetapi, adakah sahabat-sahabat tahu bilakah waktu yang paling baik untuuk kita minum air?

Pesanan buat diri dan sahabat-sahabat kita mestilah minum air secukupnya…

Percaya atau tidak, pengambilan air dalam masa yang tepat boleh memberikan kesan yang optima kepada kesihatan badan. Berikut ini nadalah masa minum air yang paling bagus seperti yang di syorkan oleh pakar-pakar perubatan.

1. Minum 2 gelas air masak – SELEPAS BANGUN TIDUR. Ianya membantu mengaktifkan organ dalaman.

2. Minum segelas air 30 MINIT SEBELUM MAKAN. Ianya membantu penghadaman dan membuatkan perut lebih bersedia memberi ruang untuk kemasukan makanan.

3. Minum segelas air – SEBELUM MANDI. Ianya membantu pengaliran darah dan mengurangkan tekanan darah.

4. Minum segelas air SEBELUM TIDUR. Ianya dapat mengelakkan terkena strok dan serangan jantung ketika tidur.

Kesimpulannya, kita sangat di galakkan untuk minum air masak yang secukupnya untuk kesihatan badan kita. Masa yang di nyatakan di ats adalah masa paling baik untuk minum air.

p/s: Air di sini adalah bukannya air kopi Radix, air teh Lipton, air buah manga atau air yang berperisa lain. Tetapi, air di sini adalah AIR MASAK!!! Harap tidak ada individu yang salah faham.

Sunday, April 25, 2010

^...InDaHNya HATI lembut VS HATI keras... ^

Bismillahirohmanirohim...

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.


Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)


2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)


3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.


4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Wednesday, April 21, 2010

...INDAHNYA kertas SOALAN....







Bismillahirohmanirohim...

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ilahi. Allah masih memberi aku peluang dan kesempatan untuk menconteng kertas jawapan bagi kertas soalan Psikologi Pembelajaran dan Kognisi. Terasa sedikit kelegaan bila mana satu kertas telah selamat di hantar ke tangan pensyarah Cik Nor Zihan pada 20 April yang lalu. Namun, halaman kertas jawapan yang di jawab tidak seberapa tebal yang di jangkakan. Menjawab soalan dalam keadaan diri yang tidak seberapa stabil, menyebabkan apa yang terbuku di kepala sukar untuk diluahkan segala-galanya. Walau apa pun, hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya.

Hari ini genap seminggu aku tidak mendengar suara orang tua ku di kampung...
Rindu padanya tidak dapat aku tahan lagi...menerima ujian kehilangan Myiman agak melemahkan jiwa jugakla...sebabnya memori ini tidak menyimpan dengan baik semua no telefon keluarga yang terdekat. Kerinduan yang teramat sangat itulah yang mengelodakkan jiwaku dan tidak menteteramkan jiwaku...Namun, walau apa pun...perjuangan hidup harus di teruskan. Aku yakin Allah sentiasa bersama aku. Segala nikmat suka dan duka adalah dariNYA..Indahnya hidup kerna aku masih di beri Kasih Sayang dariNYA.

Tiga kertas ujian untuk semester ini masih berbaki yang perlu aku rempuh dengan penuh semangat+kecekalan+ketabahan+ilmu di hati+fikiran waras+berkat doa dan restu ibu bapa=InsyaAllah segalanya-galanya boleh aku tempuhi dengan baik.



29 April 2010= Sikap dan Perubahan Sikap
03 Mei 2010 = Psikologi Sosial
04 Mei 2010 = Intervensi dan Penilaian Program Dalam Masyarakat.
05 Mei 2010 = Bermulanya alam praktikum
07 Mei 2010 = Rehlah Mantan Pim Mat (utk kita2 ja..)
08 Mei 2010 = Ada apa dengan tarikh ini?%$@&*()

Segala-galanya hanya dariNYA Yang Maha Esa. Aku sebagai hambanya hanya mampu merancang.Di kesempatan ini ingin mengucapkan Salam Muhibbah buat semua sahabat, bersyukurlah dengan semua nikmat yang di berikan dariNYA kepada kita semua.

P/s:^ JOm merepit dalam Beramal^

Sunday, April 18, 2010

^...InDaHNya ReDHO jika Hanya KEranaNYA... ^



1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka. (Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia
bersabar
bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Belajarlah untuk ikhlas.

Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya. ( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )


Sumber; Iluvislam.com


Saturday, April 17, 2010

#...InDaHNya peMIMpiN... #

Bismillahirohmanirohim...

Rasullullah SAW bersabda bermaksud:

Sesungguhnya manusia yang paling di cintai oleh Allah di Hari Kiamat dan lebih dekat tempatnya di sisi Allah SWTialah pemimpin yang adil. Manusia yang paling dibenci dan lebih jauh tempatnya di sisi Allah SWT ialah pemimpin yang jahat.

Rasullullah SAW juga bersabda maksudnya:

Setiap hamba yang diserahi oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu mati dalam keadaan menipu rakyat pada saat dia mati, pasti Allah mengharamkan syurga baginya.

Wednesday, April 14, 2010

^...InDaHNya HITAM @ PUTIH... ^

BISMILLAHIROHMANIROHIM...




Kekadang...ramai yang berfikir mereka ni lemah...
mereka sebenarnya bukan lemah...
tapi tak kuat...
tak kuat bukan bererti tidak punya kekuatan...
tapi mereka tidak cuba untuk menjadi kuat...
dalam hidup sentiasa ada 2 pilihan...
HITAM atau PUTIH...
ramai yang pilih hitam kerana mereka menyangka mereka "lemah untuk memilih putih"
sedangkan Allah jualah tempat kita kembali dan mengadu akan kelemahan kita
kerana Dia adalah Sang Pencipta Alam ini...
Pencipta kelemahan kita..
agar kita merendahkan hati memohon kekuatan dariNYA...
mungkin...
semua orang perlu melalui pengalaman sendiri...
relakan diri di ajar dariNYA...
tapi awas...!
kiranya kita telah memilih untuk di ajar olehNYA...
maka,
persiapkanlah diri untuk di tarbiyah oleh Dia yang Maha menyayangi...
tapi,
bagi yang takut membuat pilihan...
berada di tengah-tengah...
siapakah gerangan diri sebenarnya???


P/S: pesanan buat diri dan sahabiah yang lain. Segalanya dari-NYA..

Monday, April 12, 2010

#...InDaHNya KeTeNaNGan... #

Bismillahirohmanirohim...

Sesungguhnya setiap manusia itu mempunyai kesungguhan dalam melakukan setiap perkara atau perlakuan yang dikehendaki. Namun begitu, adakah mereka menggunakan akal fikiran dalam melakukan sesuatu perkara.

Sesetengah manusia memikirkan sesuatu perbuatan itu baik untuk dirinya walaupun mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Sesetengah manusia pula memburukkan sesuatu perbuatan itu dengan alasan akan mendatangkan kemudaratan terhadap dirinya dan orang lain. Di situlah kita lihat manusia itu mempunyai pemikiran masing-masing yang kita tidak pasti apakah pemikiran baik untuk kita ataupun sebaliknya?

Hati semakin gelisah, tidak tenang, gusar dengan sesuatu. Sehinggakan perkara yang baik dikata tidak, yang buruk dikata baik, dan paling menyedihkan, sesetengah manusia itu seringkali menyalahkan manusia lain yang sama agama, sama bangsa mahupun sama negara. Yang tidak baik itu seharusnya kita yang berakal tinggi ini membetulkannya dan menjadikannya pengajaran kepada semua, dan bukannya menentang dan tamakkan harta dan kuasa. Berfikirlah wahai manusia, siapakah kita di Bumi Allah ini.

Kita sebagai seorang khalifah dan juga hamba yang hina lagi keji di sisi-Nya ini perlulah tunduk dan taat kepada perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Kembalilah kepada agamamu wahai manusia yang mencari ketenangan. Insya-ALLAH, kegelisahan akan dapat dipadamkan, ketidaktenangan dapat dihapuskan, serta kegusaran dapat diruntuhkan. Sesungguhnya, KETENANGAN yang dicari akan terus kekal bersemi di dalam hati setiap hamba yang sentiasa tunduk dan sujud kepada ALLAH.

Friday, April 9, 2010

$: INDAHNYA JIHAD PEPERIKSAAN :$

Bismillahirohmanirohim...

Setinggi kesyukuran di panjatkan ke hadrat ilahi, dengan segala-gala nikmat yang tidak terhitung banyaknya diberikan olehNYA kepada sepanjang hidupku di atas muka bumiMU ini Ya Allah. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW serta semua sahabat seperjuangan baginda.

Nikmat tidur yang aku korbankan sedikit malam ini untuk ku coretkan beberapa patah dalam post ini buat tatapan insan-insan yang di pilih olehNYA dan buat mereka-mereka yang sudi melawat, mengunjung, menziarahi atau meronda-ronda di dalam blog ku yang tidak seberapa ini.

walaupun penat merempit dalam seharian, aku cuba gagahkan sendi2 jari jemari untuk memetik keyboard ini. Semua kepenatan ini boleh di lupakan bila mengigatkan tentang nikmat yang dikurniakan oleh Allah ini akan ditarik pada bila-bila masa tanpa di tanya atau di beri signal terlebih dahulu.

Teringat kejadian yang menimpa sahabat pada petang tadi. Bila-bila masa sahaja dalam sekelip mata sahaja Allah SWT mampu buat apa sahaja yang ingin di aturkan kepada setipa insan yang hidup di mukabuminya ini. Keadaan diri yang sentiasa berada di jalanan, merasakan sedikit terkesan untuk insaf dengan tidak merempit bila berada di jalan raya. Hal ini kerana, .aku berpegang kepada janjiku untuk berkhidmat dengan kudrat yang ada selagimana tidak bercanggah dengan Al-quran dan sunnah.

Tengah-tengah duk belajar ni...teringat kepada nasib sama sahabat seperjuang yang lain yang akan sama-sama berjihad dalam peperiksaan akhir untuk tahun ini tidak beberapa lagi. Sedikit perkongsian buat sahabat yang mengalami perasaan sama dengan diriku ini. Ambil yang berguna, buang yang menyemak dalam fikiran anda semua.

1."Saya tidak tahu hendak mula dari mana?


Apabila anda terperangkap dalam keadaan ini, bawa bertenang. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Bahagikan kerja mengikut keutamaan secara tersusun. Jadualkan masa dengan relistik iaitu berdasarkan kemampuan anda. Jangan tinggal kelas. Anda mungkin terlepas sesi mengulangkaji. Gunakan waktu antara kelas bagi mengulangkaji nota.

2. "Saya mempunyai banyak perkara bagi dipelajari tetapi sya mempunyai masa yang singkat."

Dalam keadaan ini, anda pelu merujuk banyak bahan bacaan, nota ataupun buku pelajaran. Anda perlu mengenalpasti perkara-perkara penting dan topik yang belum di fahami dan topik popular yang selalu keluar peperiksaan. hal ini menjimatkan masa dan membantu anda mengatur dan memberi tumpuan pada topik utama.

3. "Topik ini membosankan, saya sungguh mengantuk"

Tanya pada diri sendiri, Apakah yang penting dalam tajuk ini? Ambil jota tau gariskan perkara-perkara penting. Berbincang dengan rakan kelas, minta penjelasan dari mereka yang lebih menguasai, lalu belajar bersama-sama.

4. "Ras
anya saya sudah memahaminya"

Apabila anda menyoal diri perkara seperti itu, maka ini tidak bermakna anda perlu terus manutup buku dan mengambil keputusan berhenti mengulangkaji. Kononnya anda suudah mengetahui perkara itu. Tetapi, apa sewajarnya dilakukan adalah menguji diri anda semula terhadap apa yang anda pelajari itu.

5. "Tetapi saya sangat suka belajar di atas katil"


Menyedari bahawa proses mengingati sesuatui maklumat lebih mudah dilakukan apabila terdapat ketepatan tempat semasa anda menghafal dan mengingat sesuatu fakta ataupun data.Oleh itu, elakkan daripad memilih katil sebgai tempat belajar kerana katil itu sendiri secara psikologi adalah tempat untuk tidur. Sering berlaku, leboh kurang 5-10 minit , mata anda kak mudah mengantuk dan biasanya berakhir dengan tidur nyenyak.

6. "Saya berjaga malam sehingga saya dapat menghabiskan semuanya.
"

Elakkan daripada berlakun kepada keletihan fikiran. Biasakan mengambil sedikit waktu bagi rehat yang pendek semasa belajar. sebelum menduduki peperiksaan tenangkan fikiran anda. Bersikap tenang dari segi fizikal dan mental perlu di capai setiap pelajar yang dihendak menduduki peperiksaan.

P/S: Buat yang terbaik ye sahabat-sahabat semua. Semua berjaya di dunia dan di akhirat. Insya Allah.Ameen.

Friday, April 2, 2010

...INDAHNYA CINTA @ NAFSU SEMATA-MATA....

Bismillahirohmanirohim...

Utusan 2 Mac melaporkan: Sebanyak 75,299 kes perceraian direkodkan di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64,631 kes dicatatkan pada 2007 yang turut melibatkan tunggakan kes tahun-tahun sebelumnya, manakala sebanyak 10,668 kes dilaporkan tahun lalu.

Harian Metro pula melaporkan: Mengaibkan apabila semakin ramai remaja perempuan beragama Islam di negara ini kehilangan dara pada usia muda. Lebih membimbangkan, segelintir mereka berbangga dengan status itu dan beranggapan remaja yang masih dara sebagai kelompok ketinggalan zaman.

Dan Harakah Daily 16 Feb juga turut melaporkan: Jumlah anak tanpa bapa di Malaysia mencecah 257,411 orang sekarang, sama hebat dengan ancaman penyakit selsema burung atau aedes, kata Senator Muntaz Mohd Nawi. Beliau ketika merasmikan program Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Bayan Baru di Dewan Orang Ramai Sungai Ara semalam juga membidas dasar kerajaan yang tidak serius menangani permasalah tersebut berbanding ancaman penyakit lain termasuk chikunya.


Mohon maaf, mungkin topik kali ini tidak disenangi oleh semua orang. Anda berhak untuk berhenti membacanya. Walaupun ini adalah perkongsian yang pahit untuk di telan tapi inilah hakikat.
Adam dan Hawa

Manusia pertama yang diciptakan iaitu sang Adam menikmati segala yang indah di syurga. Namun Baginda tetap berasa sunyi dan 'kehilangan'. Akhirnya Hawa diciptakan untuk menemani Adam. Barulah Adam berasa lengkap dan sempurna. Mereka bahagia di syurga dan kemudiannya kerana cintanya kepada Hawa, akhirnya mereka dihukum turun ke bumi. Manusia pertama dan kedua adalah lelaki dan wanita. Saling memerlukan dan saling melengkapi. Masa terus berlalu dan sehingga kini, lelaki dan wanita masih saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing ada tarikan yang tersendiri. Wallahua'alam.

Kenapa Nikah

Masing-masing pasti ada jawapan yang tersendiri. Kadang-kadang bila niat menyeleweng, bukan bernikah kerana mencari keredhaan Allah, tapi bernikah kerana ingin bermegah-megah, bernikah kerana ingin memuaskan nafsu, bernikah kerana seronok melihat orang lain bernikah, bernikah kerana terpaksa, bernikah kerana ingin memiliki si dia semata-mata, maka masjid yang terbina mudah benar runtuh, terjadilah penceraian. Ramai yang bernikah tanpa berfikir panjang, bernikah dalam keadaan mental dan fizikal yang tidak bersedia, kewangan yang tidak stabil, bernikah tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup menjadi antara sebab punca terjadinya sesebuah penceraian. Wallahua'alam.

Kisah Cinta

Semalam saya mendapat panggilan telefon dari seorang teman lama. Alhamdulillah. 14 Mac ini dia akan mendirikan rumahtangga. Saya gembira untuknya. Panggilan itu juga berjaya mengimbas kembali 'cerita lama'. Bukan untuk mengaibkan si dia, namun saya rasa elok dikongsikan di sini agar dapat menjadi pengajaran dan iktibar buat kita semua. Dia saya namakan A dan bakal suaminya adalah B. A adalah bekas teman serumah saya. Mula-mula bekerja, saya mencari bilik untuk di sewa dan akhirnya melalui iklan yang di tampal di 7E, saya ditakdirkan berkenalan dengan A. Mula-mula berkenalan, A seorang yang bebas bersosial, ramai kawan lelaki dan bebas keluar dengan sesiapa sahaja. Saya juga tak pernah melihat dia solat. dan malangnya waktu itu saya juga kurang kesedaran dalam perkara 'amar makruf nahi munkar'. Sekadar melarang berbasa basi sahaja. A pernah putus cinta. Melalui ceritanya, bekas kekasih dia C ada perempuan lain, dan sebelum ini mereka tinggal bersama/bersekedudukan serta pernah di tangkap basah. Barulah A berpindah ke rumah kami sekarang. Awal-awal saya menetap dengan A, dia sudah bercinta dengan D, tapi turut keluar dengan lelaki lain X, Y, Z (infiniti). Pernah sekali dia lambat datang haid, dia kelam kabut mencari bekas kekasihnya C, buat pregnancy test dan sebagainya. (timbul sedikit syak wasangka..kata ex, tapi masih berhubung ke?) wallahua'alam. Di pendekkan cerita, A bertemu dengan B dan mula serius. B seorang yang baik akhlak. Kerja stabil dan senang mata melihat. Dan beransur2 A mula berubah-positif. Saya mula melihat dia membeli selendang, dan ada masanya dia solat. Alhamdulillah. Lega saya melihat perubahan dia. Dan bila ingin keluar dengan B, A suka menayangkan telekung yangg akan di bawa bersama. Menunjukkan mereka keluar bersama dan solat bila tiba waktunya. ALhamdulillah. sejuk hati saya melihat perubahan positif itu.


Pecah Tembelang

Namun, suatu hari kedua-duanya cemas dan meminta pandangan dari saya. "Kak as, camne nih, A buat pregnancy test td, positif"..Astagfirullahalazim....bagai batu menghempap kepala saya. Rupanya dalam 'baik' mereka.. Ada 'rahsia' yang tersembunyi. dan petangnya si B yang innocent itu juga turut bertemu saya. "Apa nak buat ni Kak As, dah cakap dah dengan A taknak, dia cakap ni last," Si B dengan muka kusutnya meluahkan perasaan, dan saya sedar. Si B telah diperangkap oleh si A secara halus untuk memilikinya.

Seks dan Cinta

Wanita sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan cinta, tapi si lelaki pula sanggup berbuat apa sahaja untuk seks. (tak semua). Si A yang lebih 'berpengalaman' telah merenggut teruna si B. Dan akhirnya berjaya 'mengikat' si B. Atas rasa cinta dan lain-lain sebab, mereka akhirnya merancang untuk berumah tangga. Happy ending tapi ini cuma kes terpencil.

Selepas tembelang mereka pecah, A berpindah keluar dari rumah, diam tanpa berita hinggalah semalam dia kembali menghubungi saya untuk memaklumkan berita gembira tentang pernikahannya. Saya benar-benar gembira untuknya. Setidak-tidaknya dia tidak lagi bergelumang dengan maksiat. Naauzubillah.

Pengalaman kenal dengan ramai orang mendedahkan saya dengan pelbagai 'cerita'. Ada satu lagi kisah. Si wanita, T, yang sudah 'tiada dara' berjaya mendapat cinta si S dengan cara yang serupa. Tiga hari berkenalan, sudah rela hati mengikut si S balik ke rumah dan bila lelaki dan wanita berduaan di sebuah bilik, pastinya ada yang ketiga lalu terjadilah maksiat yang hina. Astaghfirullahalazim..

Bukan itu sahaja, saya pernah kenal dengan seorang gadis, waktu itu dia di tingkatan lima. Saya mengenalinya semasa bekerja part time sewaktu cuti semester. "Kak as, kalau saya ajak dia tidur camne yer?dia nak tak?" Astaghfirullahalazim....ke situ pulak dia fikir. Buaya mana tolak bangkai dik oii..Betapa 'dara' di pandang remeh oleh si gadis. Betapa zina di anggap 'benda biasa' di zaman milennium ini. Naauzubillah..

Teringat zaman pengajian saya di universiti. Pelajar lelaki dan wanita tinggal serumah, pelajar lelaki keluar masuk rumah pelajar wanita, dan ada juga yang 'kantoi' di bilik asrama dan dewan kolej. Astagfirullahalazim..satu kes yang paling gempar semasa saya di universiti adalah seorang naqibah bertudung labuh di tangkap berkhalwat dengan pasangannya di bilik komputer kolej..Aduh~!!Apa lagi yang kurang?

Malang bagi si Juliet yang gagal dalam mengejar cinta. Bukan saja kehilangan 'harta yang paling berharga', lebih dari itu, mereka melakukan dosa besar, kedua-duanya di kenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej/universiti, menanggung malu yang tidak terhingga, dan bertambah malang pula apabila si Romeo tidak mahu bertanggungjawab dan menolak untuk bernikah. Hasilnya, si Juliet terpaksa berhenti belajar dan si Romeo pula kembali ke unviversiti semula selepas di gantung tanpa riak rasa bersalah..

Wahai hawa, kenapa harus kita yang menjadi mangsa? "Wanita umpama sebuah rumah yang penuh dengan harta yang bernilai. Jika kita ingin melindungi harta itu, kita sepatutnya mengunci rumah itu dengan sebaik mungkin dan sebaliknya terjadi jika kita membiarkan pintu rumah sentiasa terbuka, pasti sesiapa saja akan dapat menceroboh dan merampas harta yang bernilai itu...pilihan terletak di tangan kita..Wallahua'alam."


Kesimpulan

Seks dan zina bukanlah perkara remeh dan tidak boleh di pandang enteng. Seharusnya gejala tidak sihat ini di bendung dan di banteras. Jika terus dibiarkan ia ibarat barah yang merosakkan sesuatu bangsa dan agama. Jika ia terus di biarkan, sesebuah institusi pernikahan tidak lagi dipandang tinggi. Susur galur keturunan dan nasab juga menjadi celaru. Anak luar nikah kian bertambah. Kes pengguguran dan buang bayi pula meningkat. Dosa dan pahala dipandang ringan. Syurga dan neraka bagaikan tiada beza. Kita sayang keturunan kita. Kita sayang agama kita. Kita sayang bangsa dan negara kita. Tapi bagaimana kita ingin mengatasi permasalahan ini? Adakah memadai dengan memeluk tubuh dan menggelengkan kepala?

"Janganlah kamu mendekati zina bahawa sesungguhnya ia (zina) adalah kejahatan dan keji perjalanannya"

"Bahawa sesungguhnya solah (sembahyang) itu (berupaya) mencegah (yang mendirikannya) dari melakukan perkara yang keji dan mungkar"

Sedetik dua detik, saya berfikir sendirian..harus bagaimanakah percaturan ini ingin diteruskan?Semoga Tuhan terus memberikan kekuatan dan petunjuk, kepada saya dan seluruh umat manusia.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya"

(Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
[Al-Baqarah: Ayat286]

Sekian, Wallahua'alam.




P/S: buat diri sendiri dan sahabat-sahabat yang berada di luar sana...

Sumber: iluvislam.com