Showing posts with label NUKILAN Achik Aidik's.... Show all posts
Showing posts with label NUKILAN Achik Aidik's.... Show all posts

Thursday, January 20, 2011

TAUBAT DI PINGGIRAN HATI


Bismillahirohmanirohim...


Ketika kita sedang membaca tulisan ini, apakah dosa terakhir yang telah kita buat sebelum ini? dalam masa sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya sebelum ini, apakah kita telah melaluinya tanpa sebarang dosa pun yang terpalit di hati? Hakikatnya, kita semua pasti telah melakukan dosa, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Ya, setiap bani Adam itu pasti melakukan dosa, sebaik-baik orang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Persoalannya, adakah kita tergolong di kalangan sebaik-baik orang yang berdosa?

Sehebat mana maksiat yang kita lakukan, kita pasti membencinya tatkala kita kembali merenung dan bermuhasabah sendirian. Sepuas mana hati itu merasa dengan dosa yang kita lakukan, pasti ada tersudut perasaan benci, dan menyesal yang teramat sangat atas apa yang telah kita lakukan. Itulah fitrah yang telah Allah ciptakan dalam diri kita. Bukannya kita tidak merasa menyesal, tapi kita selalu menolak rasa penyesalan dan masih terus memenangkan kemaksiatan. Kita ingin bertaubat dengan sebenar-benarnya, namun perasaan ingin bertaubat itu tersisih di pinggiran hati.

Pun begitu, Allah memahami kita lebih daripada kita memahami diri sendiri. Allah itu terlalu besar pengampunannya buat hamba-hamba-Nya. Namun, kita selalu bongkak dan merasa bahawa dosa kita itu lebih besar daripada rahmat Allah dan tak mungkin terampun. Sombong, tidak mahu kembali kepada Allah. Lalu kita berputus asa daripada menagih keampunan dan Rahmat Allah kerana dibohongi perasaan sendiri, dipalingkan oleh syaitan, dikuasai oleh ego yang tidak selayaknya bagi kita. Kita mengeluh sendirian, “ah, aku terlalu berdosa, tak mungkin aku dapat kembali ke jalan yang lurus”, seolah-olah kita itu lemah dan patut dikasihani, namun sebenarnya kita itu sombong dan angkuh terhadap Allah! Sedarkah kita?

Lalu kita terus mengikuti dosa dengan dosa, sedangkan Rasulullah berpesan:

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kesalahan tersebut dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)

Jelas bahawa seorang hamba itu tidak dapat lari daripada tergelincir ke lembah maksiat dan dosa, namun dia juga sentiasa dialu-alukan oleh Allah untuk memohon ampunan dan kembali taat. Maka tatkala kita merasakan bahawa kitalah yang paling berdosa dan terlalu besar maksiat yang kita lakukan, kita juga harus sedar bahawa tatkala itu, kitalah yang paling wajib untuk kembali ke pangkuan Ilahi, bertaubat sepenuh hati. Ya, taubat itu bagi seorang Mukmin bukannya satu pilihan, tapi satu kewajipan kerana dosa itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan, besar mahupun kecil.

Itu satu sudut pandang buat mereka yang berdosa, agar kita tidak terjerumus ke dalam tipu daya syaitan yang menghalang kita daripada menagih keampunan Allah biar sebesar mana dosa kita. Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, lantas hilang sebelum sempat ia memasuki hati. Namun, dalam satu sudut yang lain, tidak harus kita berangan-angan akan Rahmat Allah lantas selesa dengan berbuat dosa. Kita memujuk hati dengan mengatakan, “Allah itu kan Maha Pengampun, jadi tak ada masalah berbuat dosa berkali-kali.” Anggapan yang sebegini akan menjerumuskan kita lebih jauh ke dalam lembah kemaksiatan sehingga semakin sukar untuk kita kembali.

Maka, jangan tunggu dosa itu bertampuk dan semakin menggelapkan hati. Tatkala kita terdetik untuk bertaubat, teruskanlah taubat itu dan jangan lengah-lengahkan atau tangguhkan. Setiap kali kita tergelincir, bertaubatlah. Allah tak mengira berapa kali kita sudah melakukan dosa tersebut, tetapi Allah pasti menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan lahir daripada sudut hati yang sedar akan kekuasaan Allah.

Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, masukkan ia ke dalam hati dan laluilah jalan yang diredhai Allah. Mudah-mudahan Allah tidak menyisihkan kita di hari perhitungan di pinggiran Neraka, bahkan di jurang api neraka. Na’udzubillah!

“Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti keinginannya menghendaki agar kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”

(An-Nisaa’: Ayat 27-28)

Monday, November 8, 2010

.......SoLAtKU......


Bismillahirohmanirohim...

Aku adalah seorang anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah. Diriku diberikan pendidikan agama secara terus menerus. Sejak kecil, aku diajar untuk mengenali Islam. Tadikaku adalah sekolah agama, di peringkat sekolah kebangsaan, aku dimasukkan ke sekolah agama. Sekolah menengah ku juga disisipkan pelajaran tambahan Bahasa Arab dan Kelas Kemahiran Al-Quran. Pokoknya, aku memang bertuah kerana diberikan nafas Islam dalam hidupku.

Aku menginjak awal remaja, seterusnya cukup umur untuk diwajibkan menunaikan solat. Namun, hatiku berasa berat untuk menunaikan solat. Aku hanya mengangguk apabila ibu bapaku bertanya apakah aku sudah menunaikan solat. Aku mengunci diriku di dalam kamar buat beberapa ketika dan keluar hanya untuk memberitahu yang kononnya aku sudah solat. Pernah juga ibu bapaku ragu dengan kenyataanku, namun aku berjaya meyakinkan mereka.

Beberapa program motivasi telah aku sertai, namun semuanya hanya berjaya menanamkan rasa untuk solat dalam diriku untuk masa yang sangat singkat. Selepas itu, aku teruskan tabiat lamaku. Aku lebih rela menipu daripada menunaikan solat. Betapa kuatnya pengaruh syaitan ke atas diriku.

Hari berganti hari. Hatiku sering dilanda resah tanpa sebab. Kadang kala, aku rasa ingin menangis, namun tiada alasan mengapa. Diriku terasa sedih, pilu, gelisah dan kosong. Perasaan itu semakin kuat kesannya apabila aku bersendirian. Namun, tak terlintas dalam hatiku apa sebabnya.

Satu petang maghrib, aku melihat adikku melepak dan bersembang di birai katil. Aku berasa agak pelik kerana sepatutnya sekarang mereka sudah solat, lalu aku mengarah mereka untuk mengambil wudhu' dan pergi untuk menunaikan solat. Dengan langkah longlai, mereka menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan seterusnya menunaikan solat.

Mungkin sudah ketentuan Allah, sedang aku melihat adik-adikku khusyuk solat, terdetik di benakku, " Kenapa aku menyuruh adik-adikku bersembahyang sedangkan diriku tidak sembahyang?". Tiba-tiba hatiku luruh. Aku diam tanpa kata. Perasaan sebak memenuhi rongga dadaku. Ya, benar kata benakku. Aku menyuruh adikku menunaikan solat walaupun mereka belum akil baligh, tapi aku yang sepatutnya menyembah Allah yang Maha Esa tidak pula menunaikan kewajipanku. Tanpa ku sedari, air mata luruh di pipi.

Pantas kakiku menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu'. Dengan rasa keinsafan yang terbit dalam sanubari, aku mengangkat takbir untuk pertama kalinya dengan hati yang penuh ketenangan. Setiap rukukku, sujudku terasa begitu bermakna. Bacaan Al-Fatihahku terasa begitu sayu. Betapa sebenarnya rohaniku rindu pada Allah. Betapa jiwaku sebenarnya meronta ingin menghadap Allah. Betapa sebenarnya aku mahu solat.

Tidak lama kemudian, tiba pula bulan Ramadhan. Aku bertekad untuk belajar memenuhi solat 5 waktu sepanjang bulan itu. Aku melawan nafsuku semata-mata untuk menunaikan solat. Hatiku menjadi lebih tenteram. Jiwaku tenang. Tiada lagi keresahan merundung jiwa. Kini aku tahu mengapa hati sering dibelenggu kesedihan. Aku rindukan Allah. Aku terlalu merinduiNya...

Kini, aku merasakan hari-hariku lebih bermakna dengan kehadiran rakan baik baruku, SOLAT. Aku berharap hidupku akan terus dipenuhi solat, tak kisahlah yang wajib atau yang sunat. Amin...

*iluvislam

Monday, September 27, 2010

PESANAN RASULULLAH SAW TERHADAP WANITA

Bismillahirohmanirohim...

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana
perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka
carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka
masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan
berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6) Apabila
lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7)
Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka
diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang
menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya
kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11) Mana-mana wanita yang
berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12) Apabila wanita
mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13) Apabila
wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Friday, September 24, 2010

^KENALI 7 GOLONGAN^

Bismillahirohmanirohim...

Rasullullah bersabda yang bermaksud, " Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNYA pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah, di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: ""Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatinya sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." ( Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

TERDAPAT TUJUH GOLONGAN YANG BAKAL MENDAPAT NAUNGAN HARI AKHIRAT KELAK IAITU:

  1. Pemerintah yang adil. Tanggungjawab di pikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat. Sememangnya bukan mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya.
  2. Orang muda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhan. Sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja (muda) kerana pada usia inilah individu di uji pelbagai godaan. Dan beruntunglah orang yang berjaya melepasi rintangan itu.
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid (rumah ibadat). Ada hadis menyebutkan bahawa langkahan dua kaki ke masjid bakal beroleh ganjaran besar di sisi Allah dan di kategorikan sebagai satu sedekah.
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, dan apabila kedua-duanya bertemu dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah. Hal ini merujuk kepada perhubungan sesama insan (persahabatan) yang terjalin kerana Allah dan dalam adab serta batas kesopanan yang di benarkan.
  5. Orang yang di pujuk oleh perempuan kaya lagi rupawan untuk berzina, lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!" Inilah sebesar-besar ketakwaan kepada Allah sehingga berjaya menangkis godaan datang.
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di beri oleh tangan kanannya. Sikap ini mengambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah.
  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan sepenuh hati tanpa terlalai sedikit pun. Tiada yang lain dalam ingatannya kecuali Allah dan sifat Jalal serta JamalNYA.
*Justeru, dalam golongan manakah kita?

Thursday, September 23, 2010

JANGAN JADIKAN PERMAINAN


Bismillahirohmanirohim...


HASAD DENGKI memang permainan manusia. Namun, jika di biarkan hasad dan dengki akan menjadi seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.

Jangan lupa bahawa hasad dan dengki yang menyebabkan Nabi Adam tersingkir daripada baginda dan isteri, Hawa menjadi mangsa dengki iblis. Kerana hasad dengki juga berlaku pembunuhan pertama dalam sejarah apabila dua anak lelaki Nabi Adam, Qabil membunuh adiknya, Habil.

Jauhilah dengki yang memusnahkan ukhwah dan kebaikan dalam diri. Namun jika ingin berdengki, lakukan dalam perkara yang positif seperti berlumba-lumba melakukan kebaikan dan menuntut ilmu atau ibadat.



Wednesday, September 15, 2010

KEJAYAAN ITU BUKAN MILIKMU...

Bismillahirohmanirohim...

Jika hari ini kita seorang doktor yang berjaya, jurutera yang disegani mahupun ahli politik yang dihormati, namun pernahkah seketika kita merenung kembali siapakah di sebalik kejayaan yang kita kecapi pada hari ini?

Ramai antara kita alpa dan bangga dengan kejayaan yang diraih dan merasakan bahawa kejayaan itu adalah kerana diri kita yang telah berusaha keras. Apabila lulus peperiksaan, kita rasa itu hasilnya sebab kita rajin ulangkaji, kita rasa ia hasil penat lelah kita belajar sampai larut malam. Bila dapat naik pangkat, kita yakin itu sebab kita rajin buat kerja, kita rasa boss sayang kita. Namun, hakikatnya kita lupa, “tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah", jika Allah tidak mengizinkan, jangan kata untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan, bahkan untuk memegang pen untuk menjawab peperiksaan pun kita tidak mampu. Begitu juga usaha kita untuk naik pangkat tidak mungkin berjaya tanpa izin Allah.

Ayuh sejenak kita muhasabah diri, tanpa keredhaan Allah, tanpa izin dan perkenan Allah, siapalah kita pada hari ini? Betapa hebat mana pun kita, namun tidak mampu melawan takdirnya Allah. Betapa gigih usaha kita, namun jika Allah tidak mentakdirkan kejayaan itu untuk kita, namun tidak mampu sesiapa untuk mendapatkannya untuk kita.

Justeru, kepercayaan pada kekuasaan Allah akan sentiasa membuatkan kita ini menjadi manusia yang merendah diri kerana kita yakin bahawa setiap kejayaan kita adalah milik Allah. Hamba yang bersyukur itu menyedari bahawa setiap kejayaan yang diraih adalah sekadar pinjaman Allah. Setiap nikmat itu adalah bahagian yang menjadi amanah Allah untuk diuruskan. Natijahnya, insan yang menyedari Allah adalah penentu setiap kejayaannya akan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat utama dalam setiap tindak tanduknya. Orang yang menyedari hakikat keterbatasan dirinya sebagai hamba akan menjadi insan yang sentiasa bersyukur dan merasakan keagungan Allah. Kejayaan yang digenggam tidak akan menjadikan dirinya sombong bahkan menjadikannya dirinya semakin tunduk.

Ayuh kita koreksi diri sendiri, insaflah... bahawa kejayaan ini bukan milik kita!

*Tiada apa yang lebih bermakna selain dapat bermuhasabah diri supaya dapat merenung seketika sejauh mana telah kita capai dalam kehidupan ini. Seimbangkan antara tanggungjawab sebagai hamba-NYA dan juga tanggungjawab didunia.

*Petikan dari iluvislam.com

Wednesday, July 28, 2010

~PERIBADI BERZIKIR~

Bismillahirohmanirohim...

Peribadi berzikir, zikir menjadi keperibadiannya, Allah tujuannya, Rasulullah S.A.W tauladan dalam hidupnya. Dunia ini pun menjadi syurga sebelum syurga sebenarnya. Bumi menjadi Masjid baginya, rumah, kantor bahkan hotel sekalipun jadi Musalla baginya. Tempat ia berpijak meja kerja, kamar tidur hamparan sejadah baginya. Kalau ia bicara, bicaranya dakwah, kalau dia berdiam, diamnya zikir, nafasnya tasbih, matanya penuh Rahmat Allah, penuh kasih saying, telinganya terjaga, fikrannya baik sangka, tiidak sinis, tidak suka pesimis, dan tidak suka memponis, hatinya SubhanaAllah diam-diam berdoa, doanya diam-diam. Tangannya bersedekah, kakinya berjidah, ia tidak mahu melangkah sia-sia, kekuatannya silaturrahim, kerinduannya tegaknya syariat Allah, kalau memang hak tujuannya maka sabar dan kasih saying strateginya, Asma’amanina cita-cita tertingginya, teragung syahid di jalan Allah dan sungguh menarik kesibukannya ianya asyik memperbaiki dirinya, tidak tertarik mencari kekurangannya apalagi aib orang lain. Hadirilah majlis-majlis zikir, raihlah keperibadian berzikir, dengan selalu menikmati hidangan Allah terlazat ZIKRULLAH.

Wednesday, June 9, 2010

:+Muhasabah Bersama+:

Bismillahirohmanirohim...

Pelbagai masalah yang menimpa umat Islam seluruh hari ini. Tidak kiralah dari segi apa pun sama ada sosial, politik, ekonomi dan segala macam sudut. Kita sebagai umat Islam lebih cenderung menyalahkan pihak lain di atas kelemahan kita sendiri. Bukan semua yang bersifat begini tetapi ada dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

Saya cuba berkongsi pendapat saya bersama para pembaca artikel ini. Jika ada salah dan silap boleh ditegur dengan cara yang berhemah seperti mana yang diamalkan oleh junjungan besar kita Rasulullah S.A.W. Ini adalah sekadar pendapat peribadi saya, ianya adalah hasil daripada pengalaman hidup saya yang tidak seberapa ini.

Kita sambung kembali isu yang dibincangkan sebentar tadi. Sebagai contoh dan ini tiada kaitan dengan sesiapa, ramai umat Islam dewasa ini cukup prihatin dalam isu Palestin. Banyak juga pihak sama ada yang beragama Islam atau pun tidak yang telah membantu dari segi bantuan kewangan, pakaian, tenaga dan pelbagai lagi perkara yang dirasakan perlu untuk membantu rakyat Palestin yang menderita.

Tidak kurang juga yang sering berdoa supaya rakyat Palestin diselamatkan dan pihak yang menindas ke atasnya dihancurkan daripada muka bumi ini dan kalau tidak silap saya, doa-doa ini juga sering berkumandang di tempat yang makbul doa seperti di Tanah Suci Makkah dan juga Madinah.

Persoalannya,

Adakah Yang Maha Mendengar tidak mendengar doa kita?

Adakah Yang Maha Mengetahui tidak mengetahui hambaNYA sedang menderita?

Adakah Yang Maha Mengasihani tidak mengasihani hambaNYa?

Adakah Yang Maha Melihat tidak melihat kesengsaraan hambaNYA?

Adakah Yang Maha Berkuasa tidak berkuasa ke atas kekuasaanNYA?

Adakah Yang Maha Pencipta tidak dapat mengawal ciptaanNYA?


Tidak sesekali tidak kerana Allah itu Maha Sempurna tiada tolok bandingnya.

Wahai orang yang Islam, kita cuba lihat kembali dalam diri kita. Sememangnya nama kita Muhammad, nama kita Ahmad, nama kita Abu Bakar, nama kita Umar, nama kita Uthman, nama kita ‘Ali, nama kita Khadijah, nama kita ‘Aisyah, nama kita Fatimah tetapi adakah kita benar-benar beriman?


~TINTA BUAT SAHABAT~

Align CentreBismillahirohmanirohim...


Tika aku kesepian,
Kau datang membawa kegembiraan,
Tika aku kedukaan,
Kau hadir mengubat jiwa,
Tika aku kegelisahan,
Kau di sisi memberi ketabahan.


Sahabat,
Jika aku lupakan Yang Esa,
Ajaklah aku mengingatiNya,
Jika aku gembira tak terkata,
Sedarkanlah aku dengan amaran-amaranNya,
Jika aku bersedih tanpa bicara,
Pintalah aku agar berserah kepadaNya.


Sahabat,
Kaulah hadiah Allah untukku,
Apa yang aku harapkan,
Adalah ukhuwah yang berkekalan,
Sehingga ke akhir hayat kita.

Ukhuwah fillah abadan abada.

Wednesday, April 28, 2010

INDAHNYA AIR @ WATER @ AL-MA’


Bismillahirohmanirohim…


Setinggi-tinggi kesyukuran hanya kepadaNYA Allah SWT yang Maha Esa Tuhan Sekalian Alam. Walaupun berada dalam minggu exam, aku masih mencuri masa untuk mengupdate blog yang beberapa hari aku tinggalkan. Exam-Exam jugak, tapi kekasih di alam maya ini tetap aku rindui selalu…Rasa terdetik untuk bercerita mengenai Bumi Sabah iaitu Negeri di Bawah Bayu yang kini di landa pemanasan global. Pemanasan global ini boleh mengakibatkan beberapa kesan positif dan negatif kepada kita semua.

Seperti semua sahabat-sahabat sedia maklum, dalam keadaan cuaca yang sebegini…Kita semua digalakkan untuk meminum air dalam kuantiti yang banyak dalam seharian kita. Tidak kira siapa dia lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang tua atau remaja-remaja yang bakal menerajui Negara pada masa hadapan (Insya Allah…).

Semua sahabat-sahabat tahu, minum air adalah sangat penting dan sangat baik untuk kesihatan. Tetapi, adakah sahabat-sahabat tahu bilakah waktu yang paling baik untuuk kita minum air?

Pesanan buat diri dan sahabat-sahabat kita mestilah minum air secukupnya…

Percaya atau tidak, pengambilan air dalam masa yang tepat boleh memberikan kesan yang optima kepada kesihatan badan. Berikut ini nadalah masa minum air yang paling bagus seperti yang di syorkan oleh pakar-pakar perubatan.

1. Minum 2 gelas air masak – SELEPAS BANGUN TIDUR. Ianya membantu mengaktifkan organ dalaman.

2. Minum segelas air 30 MINIT SEBELUM MAKAN. Ianya membantu penghadaman dan membuatkan perut lebih bersedia memberi ruang untuk kemasukan makanan.

3. Minum segelas air – SEBELUM MANDI. Ianya membantu pengaliran darah dan mengurangkan tekanan darah.

4. Minum segelas air SEBELUM TIDUR. Ianya dapat mengelakkan terkena strok dan serangan jantung ketika tidur.

Kesimpulannya, kita sangat di galakkan untuk minum air masak yang secukupnya untuk kesihatan badan kita. Masa yang di nyatakan di ats adalah masa paling baik untuk minum air.

p/s: Air di sini adalah bukannya air kopi Radix, air teh Lipton, air buah manga atau air yang berperisa lain. Tetapi, air di sini adalah AIR MASAK!!! Harap tidak ada individu yang salah faham.

Sunday, April 25, 2010

^...InDaHNya HATI lembut VS HATI keras... ^

Bismillahirohmanirohim...

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.


Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)


2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)


3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.


4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Wednesday, April 21, 2010

...INDAHNYA kertas SOALAN....







Bismillahirohmanirohim...

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ilahi. Allah masih memberi aku peluang dan kesempatan untuk menconteng kertas jawapan bagi kertas soalan Psikologi Pembelajaran dan Kognisi. Terasa sedikit kelegaan bila mana satu kertas telah selamat di hantar ke tangan pensyarah Cik Nor Zihan pada 20 April yang lalu. Namun, halaman kertas jawapan yang di jawab tidak seberapa tebal yang di jangkakan. Menjawab soalan dalam keadaan diri yang tidak seberapa stabil, menyebabkan apa yang terbuku di kepala sukar untuk diluahkan segala-galanya. Walau apa pun, hanya Allah sahaja yang tahu segala-galanya.

Hari ini genap seminggu aku tidak mendengar suara orang tua ku di kampung...
Rindu padanya tidak dapat aku tahan lagi...menerima ujian kehilangan Myiman agak melemahkan jiwa jugakla...sebabnya memori ini tidak menyimpan dengan baik semua no telefon keluarga yang terdekat. Kerinduan yang teramat sangat itulah yang mengelodakkan jiwaku dan tidak menteteramkan jiwaku...Namun, walau apa pun...perjuangan hidup harus di teruskan. Aku yakin Allah sentiasa bersama aku. Segala nikmat suka dan duka adalah dariNYA..Indahnya hidup kerna aku masih di beri Kasih Sayang dariNYA.

Tiga kertas ujian untuk semester ini masih berbaki yang perlu aku rempuh dengan penuh semangat+kecekalan+ketabahan+ilmu di hati+fikiran waras+berkat doa dan restu ibu bapa=InsyaAllah segalanya-galanya boleh aku tempuhi dengan baik.



29 April 2010= Sikap dan Perubahan Sikap
03 Mei 2010 = Psikologi Sosial
04 Mei 2010 = Intervensi dan Penilaian Program Dalam Masyarakat.
05 Mei 2010 = Bermulanya alam praktikum
07 Mei 2010 = Rehlah Mantan Pim Mat (utk kita2 ja..)
08 Mei 2010 = Ada apa dengan tarikh ini?%$@&*()

Segala-galanya hanya dariNYA Yang Maha Esa. Aku sebagai hambanya hanya mampu merancang.Di kesempatan ini ingin mengucapkan Salam Muhibbah buat semua sahabat, bersyukurlah dengan semua nikmat yang di berikan dariNYA kepada kita semua.

P/s:^ JOm merepit dalam Beramal^