Thursday, February 11, 2010

"DIleMa NaQib" ~Berundur Dalam Baribadah~

Bismillahirohmanirohim...

"Naqib…….”, kedengaran suaranya yang lemah melalui telefon.

“Ramai yang keluar hujung minggu ini”, katanya lagi.

Naqib dapat mengagak mesej yang cuba disampaikan.

“Apakah kamu bersedih?” soal Naqib.

“Sedikitlah. Tidak ramai yang dapat hadir. Muka yang biasa, tiada. Apa kata ditangguhkan pada minggu hadapan”, dia mencadangkan.

“Sedikit atau ramai bukanlah motivasinya. Mereka keluar mecari ilmu. Mereka yang tinggal di dalam juga perlukan sesuatu. Kita teruskan sahaja dengan apa yang ada”, Naqib memberikan keyakinan.

“Baiklah. Kita teruskan!”, suaranya kembali ceria.

Debaran Sebelum Bermula

Setiap kali sebelum bermula, Naqib pasti berdebar dan tertanya-tanya. Berapa ramailah agaknya yang bakal turut serta.

Astaghfirullah. Serahkan semuanya pada Allah.

Naqib serta sahabat-sahabatnya telah berusaha. Jauh sekali ingin memaksa, sebaliknya memberikan pilihan serta kebebasan penuh pada mereka agar kehadiran lahir dari dalam diri.

Jam menunjukkan masa yang dijanjikan untuk bermula. Alhamdulillah, ada yang sudah tiba. Jelas kali ini tidak ramai seperti biasa. Namun syukur kepada Allah kerana angka 20 sudah cukup memeriahkan suasana. Paling penting ialah hati-hati yang hadir dan berkumpul pada ketika itu ikhlas keranaNya.

Beberapa individu sempat bertemu Naqib menunjukkan muka. Memohon maaf kerana tidak dapat turut serta.

“Maaf tidak dapat join kali ini”, ujarnya.

“Tiada siapa yang bersalah”, ujar Naqib dalam senyuman dan bersalaman.

Jangkitan Budaya Memberi

“Mengapa agaknya kita lakukan aktiviti ini setiap kali” tanya Naqib kepadanya.

“Ruang untuk memberi serta menerima. Ruang untuk santai dan berfikir hal-hal seharian kita lalu mengaitkannya dengan Maha Pencipta”, jawabnya ringkas.

“Tepat sekali. Justeru, apakah pantas berundur kerana jumlah kehadiran yang sedikit? Atau mungkin kerana cabaran-cabaran lain yang pelbagai, bisikan syaitan dan manusia?”, soal Naqib lagi.

Dia diam. Mungkin terkenangkan perbualan di telefon.
“Berakviti sebegini ibarat memberi. Memberi adalah satu ibadah. Justeru, kita bukannya ingin berlawan. Ibadah bukan untuk menyakitkan siapa-siapa. Bahkan untuk menunaikan ibadah, hati perlu tenang dan ikhlas agar Allah terima. Moga-moga kita akan lebih rancak berlumba-lumba dalam kebaikan. Moga-moga, semangat untuk memberi ini tersebar lalu berjangkit pada orang lain pula”, Naqib memberikan pendapat.

“Apabila semua orang beraktiviti positif, bukankah mudah kerjanya”, dia menamatkan bicara.

Setiap tindakan kita perlu jelas tujuannya. Apabila bertindak, perlulah bijak serta penuh tanggungjawab. Kelak setiap tindakan akan meninggalkan kesan yang perlu kita berhadapan dengannya.

Tindakan yang dimulakan dengan niat ikhlas pasti dipermudahkan sekalipun terbentang cabaran. Usahlah gusar.

Andai jumlah bilangan yang hadir itu melemahkan, masakan tentera Badar al-Kubra tetap terus melangkah ke medan perang.


* sumber: Iluvislam

Tuesday, January 12, 2010

~INDAHNYA TUDUNG VS HELMET SS195F~



“Macam-macam...nampak baik, dah bertudung litup, tapi perangai...huh!” kedengaran seorang pakcik mengeluh.
“Kalau macam tu lebih baik tak pakai tudung. Tak hipokrit!” sampuk seorang lelaki yang lebih muda di sebelahnya.
“Sebab tulah agaknya sekarang ada pihak yang beranggapan pakai tudung ni tak wajib. Malah haram pulak, pada sesetengah keadaan...” kata pakcik tadi membalas.
“Ha, ustaz, dari tadi diam saja. Ada apa-apa komen?” jolok lelaki muda yang duduk bersebelahan saya. Entahlah, kenapa dia memanggil saya “ustaz”, mungkin kerana songkok yang saya pakai agaknya.
Saya diam. Senyum, sambil melirik jam tangan. Lambat lagi. Bas yang ditunggu dijadualkan tiba setengah jam lagi. Bolehlah berbual panjang. Topik ini hot juga. Mungkin keletah dua orang gadis bertudung dengan pasangan masing-masing di bangku hadapan tidak jauh dari tempat kami duduk itu meransang muzakarah tidak rasmi itu, tanpa segan silu, dua orang gadis itu beraksi dengan gaya yang menjolok mata dengan pasangan masing-masing.
“Pakai tudung ni macam pakai topi keledar,” jawab saya perlahan.
“Aik, ke situ pulak? Kita bukan bercakap tentang keselamatan jalan raya tapi tentang akhlak, tentang moral.” Balas lelaki muda,

“Topi keledar menjaga keselamatan nyawa, tudung pulak menjaga keselamatan akhlak.”
“Oh, Kalau betul begitu, kenapa tudung tak dapat menyelamatkan akhlak wanita yang memakainya?” katanya sambil menjeling kepada kedua-dua gadis di depan.
“Sama seperti topi keledar juga. Ada keadaan-keadaan tertentu yang topi keledar pun tak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju dan pemandu cuai semuanya memakai topi keledar, tapi berkecai juga kepala bila dilanggar,” kata saya.
“Maksud ustaz?”
“Ada yang lebih penting dari sekadar topi keledar untuk menyelamatkan nyawa pemandu motorsikal. Antaranya, memandu secara berhati-hati, jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya, tidak mengantuk atau tidak memandu dalam keadaan mabuk.”
“Emm, apa kaitan semua tu dengan tudung?”
“Nak jaga akhlak tak cukup dengan hanya bertudung. Ada yang lebih penting lagi. Umpamanya, menjaga tingkah laku, tutur kata, pandangan mata, pergaulan, selain masa dan tempat wanita itu berada,” jawab saya.
“Cuba ustaz beri contoh…”
“Kalau hanya bertudung, tapi tingkah laku liar, pergaulan bebas, pandangan mata tak dikawal, keluar hingga jauh malam, berada di tempat maksiat, maka tudung pun takkan mampu untuk menjaga maruah dan akhlak si pemakai,” Kata saya.
“Kalau begitu, di mana kelebihannya bertudung ini?” sentak lelaki muda itu tiba-tiba.
“Macam pakai topi keledar juga. Ia memberi perlindungan, sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang, kekadang terjadi juga kemalangan. Bukan disebabkan kecuaian kita tapi kecuaian orang lain. Waktu tu siapa yang bertopi keledar mungkin kurang sedikit risikonya.”
“Tapi tudung sekarang macam-macam. Ada pelbagai fesyen…”
“Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mencapai piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar dah baik tapi cara pakai pulak tak kena, talinya dibiarkan longgar, atau main sangkut-sangkut saja.”

“Maksud ustaz?” Tanya pakcik tua yang semakin berminat.

“Pakai tudung dan tutup aurat ni adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung, tapi tak tutup aurat. Tutup aurat ada konsepnya, ada falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman, cara dan perlaksanaannya pula mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ni macam-macam. Mungkin niatnya nak glamour, nak cantik, nak bergaya…”

“Salahkah bertudung nak cantik? Kan islam tu indah?” balas lelaki muda.
“Tak salah tetapi bukan itu tujuan utama. Yang utamanya nak ikut perintah ALLAH. Atas dasar iman. Kemudian dibuat dengan menepati syariat. Mana yang patut ditutup, ditutup. Labuh dan singkatnya semua hendaklah menepati syariat. Dengan itu barulah terpelihara akhlak pada wanita yang menutup aurat. Dan selamat dia dari gangguan!” balas saya agak panjang.
“Tapi bagaimana pula orang yang kata bertudung tak wajib tu? Mereka kata, mereka ada dalil juga.”
“Orang yang kata tudung itu wajib pun ada dalil juga. Apa nak disusahkan?”
“Tapi orang yang pakai tudung kekadang pandang hina orang yang tak bertudung.” Usik lelaki muda.

“Orang bertudung mungkin boleh menghina orang yang tak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika benar-benar dia menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sesekali memandang hina kepada orang yang tidak bertudung,” balas saya.
“Macam mana kalau orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada orang yang tidak bertudung?”
“Bagi saya dia umpama orang yang memandu dengan baik, berhemat dan cermat tetapi tidak memakai topi keledar.”
“Tapi kalau dia rasa memakai topi...eh,eh...tudung tu tidak wajib? Macam mana?”
“Tak salah ikut ukuran dia. Tetapi tengoklah di mana langit dia pijak. Di mana langit dia junjung. Kalau di Malaysia ni, tak pakai topi keledar salah di sisi undang-undang. Sekalipun dia memandu dengan baik, tetap salah kalau tidak bertopi keledar!”



p/s: Perkongsian dari buku “Nota Hati Seorang Lelaki”

Saturday, December 5, 2009

~INDAHNYA UJIAN HIDUP~

Dalam kita menghadapi ujian, pasti ada jalan keluarnya.
Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal.
Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi,

"Bukankah Subuh itu sudah tiba."

Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya. Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.


Oleh itu, laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus kepada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya. Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar.


Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya. Ini ditegaskan lagi oleh Allah,

"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya (QS Ath-Thalaq:4).

Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan,

"Maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." (QS Al: Insyirah:5-6)

Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.