Monday, November 8, 2010

.......SoLAtKU......


Bismillahirohmanirohim...

Aku adalah seorang anak kepada sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah. Diriku diberikan pendidikan agama secara terus menerus. Sejak kecil, aku diajar untuk mengenali Islam. Tadikaku adalah sekolah agama, di peringkat sekolah kebangsaan, aku dimasukkan ke sekolah agama. Sekolah menengah ku juga disisipkan pelajaran tambahan Bahasa Arab dan Kelas Kemahiran Al-Quran. Pokoknya, aku memang bertuah kerana diberikan nafas Islam dalam hidupku.

Aku menginjak awal remaja, seterusnya cukup umur untuk diwajibkan menunaikan solat. Namun, hatiku berasa berat untuk menunaikan solat. Aku hanya mengangguk apabila ibu bapaku bertanya apakah aku sudah menunaikan solat. Aku mengunci diriku di dalam kamar buat beberapa ketika dan keluar hanya untuk memberitahu yang kononnya aku sudah solat. Pernah juga ibu bapaku ragu dengan kenyataanku, namun aku berjaya meyakinkan mereka.

Beberapa program motivasi telah aku sertai, namun semuanya hanya berjaya menanamkan rasa untuk solat dalam diriku untuk masa yang sangat singkat. Selepas itu, aku teruskan tabiat lamaku. Aku lebih rela menipu daripada menunaikan solat. Betapa kuatnya pengaruh syaitan ke atas diriku.

Hari berganti hari. Hatiku sering dilanda resah tanpa sebab. Kadang kala, aku rasa ingin menangis, namun tiada alasan mengapa. Diriku terasa sedih, pilu, gelisah dan kosong. Perasaan itu semakin kuat kesannya apabila aku bersendirian. Namun, tak terlintas dalam hatiku apa sebabnya.

Satu petang maghrib, aku melihat adikku melepak dan bersembang di birai katil. Aku berasa agak pelik kerana sepatutnya sekarang mereka sudah solat, lalu aku mengarah mereka untuk mengambil wudhu' dan pergi untuk menunaikan solat. Dengan langkah longlai, mereka menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk dan seterusnya menunaikan solat.

Mungkin sudah ketentuan Allah, sedang aku melihat adik-adikku khusyuk solat, terdetik di benakku, " Kenapa aku menyuruh adik-adikku bersembahyang sedangkan diriku tidak sembahyang?". Tiba-tiba hatiku luruh. Aku diam tanpa kata. Perasaan sebak memenuhi rongga dadaku. Ya, benar kata benakku. Aku menyuruh adikku menunaikan solat walaupun mereka belum akil baligh, tapi aku yang sepatutnya menyembah Allah yang Maha Esa tidak pula menunaikan kewajipanku. Tanpa ku sedari, air mata luruh di pipi.

Pantas kakiku menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu'. Dengan rasa keinsafan yang terbit dalam sanubari, aku mengangkat takbir untuk pertama kalinya dengan hati yang penuh ketenangan. Setiap rukukku, sujudku terasa begitu bermakna. Bacaan Al-Fatihahku terasa begitu sayu. Betapa sebenarnya rohaniku rindu pada Allah. Betapa jiwaku sebenarnya meronta ingin menghadap Allah. Betapa sebenarnya aku mahu solat.

Tidak lama kemudian, tiba pula bulan Ramadhan. Aku bertekad untuk belajar memenuhi solat 5 waktu sepanjang bulan itu. Aku melawan nafsuku semata-mata untuk menunaikan solat. Hatiku menjadi lebih tenteram. Jiwaku tenang. Tiada lagi keresahan merundung jiwa. Kini aku tahu mengapa hati sering dibelenggu kesedihan. Aku rindukan Allah. Aku terlalu merinduiNya...

Kini, aku merasakan hari-hariku lebih bermakna dengan kehadiran rakan baik baruku, SOLAT. Aku berharap hidupku akan terus dipenuhi solat, tak kisahlah yang wajib atau yang sunat. Amin...

*iluvislam

Tuesday, November 2, 2010

BANTUAN ALLAH


Bismillahirohmanirohim...

Kerap kali hati ini merintih lemah meminta dan mengharapkan daripada Allah swt. Sesungguhnya sangat banyak cabaran yang telah dilalui dan kadangkala ianya seperti memaksa kita untuk meninggalkan jalan ini. Nauzubillah.

Inilah fitrah kita selaku makhluk yang bernama manusia. Tidak pernah lekang dengan sifat cuai kerana kita bukanlah diciptakan sempurna. Mungkin selama ini kita terasa kuat dalam menghadapi mehnah pada jalan ini tetapi akan tiba suatu masa kita akan dikunjungi perasaan lemah dan malas yang akan menusuk hati kita secara perlahan-lahan. Ketika itu hati akan mula memberontak dan akhirnya dengan mudah syaitan laknatullah menjalankan misi mereka untuk menarik kita mengikuti jalan toghut.

Sebagai seorang pejuang dalam agama ini, kita seharusnya bergembira dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (Al-Baqarah:214)

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan ujian yang diberikan adalah untuk menjadi bukti bahawa para pejuang kebenaran ini adalah seorang yang benar-benar beriman dan ikhlas berjuang hanya kerana ingin menggapai mardhotillah. Inilah hakikat perjuangan, tiada erti senang lenang di dalam kamus hidupnya, yang ada dalam catatan hariannya cumalah perkara yang perit dan penuh dengan pengajaran untuk dibawa sebagai bekalan menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu kesukaran lagi.

Tetapi, walaupun begitu susah perjuangan ini, mereka tidak semudah itu untuk mengalah. Lihat sahaja kisah Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umair dan Khabab yang dikurniakan dengan ujian yang menggetarkan iman, tetapi kerana keimanan yang tinggi kepada Allah, maka mereka diberi keistimewaan berada disamping Allah.

Ayuh pejuang!!! Bangkitlah dari kelemahan diri ini, ingatlah bahawa ujian itu sebagai mahar yang perlu dibayar untuk mendapatkan syurga dan semoga jerih lelah kita menunaikan mahar ini akan menjadi sirna ketika berhadapan dengan Allah kelak.

Perjuangan ini penuh onak duri dan segala macam rintangan, tetapi walaupun rintangan itu setinggi langit, ingatlah bahawa Allah sentisa berada di sisi kita.

*iluvislam

Monday, October 25, 2010

MAKSIAT LEMAHKAN KEKUATAN HATI

Bismillahirohmanirohim...

MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

# Rezeki tidak lancar

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.”

Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

# Keterasingan antara Allah

Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”

# Keterasingan antara manusia

Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

# Allah akan menyulitkan urusannya

Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.

# Kegelapan dalam hati

Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.

# Maksiat melemahkan kekuatan hati

Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

# Malas mengerjakan ibadat

Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

# Terbiasa berbuat dosa

Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

*dipetik dr Berita Harian,Selasa, 27 Mac 2007

Monday, September 27, 2010

PESANAN RASULULLAH SAW TERHADAP WANITA

Bismillahirohmanirohim...

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana
perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka
carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka
masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan
berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6) Apabila
lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7)
Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka
diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang
menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya
kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11) Mana-mana wanita yang
berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12) Apabila wanita
mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13) Apabila
wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.