Tuesday, September 30, 2008

Doa Tuan Guru Nik Abd Aziz Bin Nik Mat




"Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat
menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamua
yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan
yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia."

"Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan
kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami
dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah
kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah engkau jadikan
bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan
sebesar-besar cita-citanya dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan
janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas
terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami."

"Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungan dengan nur kesucian engkau
dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap
yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik." "Wahai tuhan
kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon
pertolongan. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan
diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah
kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia."

"Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun,
selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau
siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi
kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan
kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba
engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau
wahai tuhan yang maha pemurah."

"Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami
sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan
mereka seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk
Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancangan jahat mereka supaya
berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan
pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan
pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi,
Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai
Tuhan yang mempunyai keagungna dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau
berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu."

"Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi
Muhammad S.A.W yang dengannya dapat mengubati hati dan menjadikan
penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi
pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan
kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian.


sumber: tokgurublog-Mursyidul Am PAS

Thursday, September 25, 2008

JASA BONDA


Kau Di buai Mimpi Dia Jaga
Kau Bersenang Dia Bekerja
Untukmu Tiada Terbatas
Memberi Tak Minta Di Balas

Ingin Di Binanya Untukmu
Kehidupan Yang Sempurna
Punya Kekuatan Jiwa
Punyai Maruah

Leterennya Dari Rasa Luhur
Menegur Sebelum Terlanjur
Itulah Yang Di Warisi
Pesan Ibu Terpahat Di hati

Beringat-ingatlah Berpesan-pesan
Untuk Kebaikan
Marah Bukan Kebencian
Tapi Tanda Sayang

Engkau Semakin Dewasa
Berjiwa Merdeka

Sedang Dia Semakin Tua
Membilang Usia

Disaat Kau Berjaya
Dia Tiada Berdaya
Semoga Kau Tak Lupa
Jasa Bonda....

Assalamualaikum w.b.t...
Alhamdulillah Allah SWT masih memberi kekuatan kepada ana untuk mencoret sedikit luahan hati. Walaupun tidak sebegitu seronok di baca oleh makhluk Allah yang lain, tetapi di sebabkan blog ini ana punya, jadi suka hati I la nak kata apa pun kan???Sebenarnya, ana kangan bangat dengan family ana di kampung. Tahun adalah tahun pertama ana terpaksa beraye berjauhan denagn family ana. Pengalaman ni adalah pengalaman yang paling menyedihkan buat ana yang bergelar seorang insan yang lemah. Tapi, apa boleh buat bersabar je la...huhuhu...Berpautan dengan lirik lagu ini juga, menyebabkan hati aku betul2 tersentuh. Telah banyak dosa2 yang aku lakukan kepada Umi n Abah. Mungkin jika disukat @ diukur sama banyaknya dengan buih di pantai Cahaya Bulan yang terletak tidak jauh dari Bandar Kota Bharu n termasuklah teratak buruk ana juga. Pantai ini jugalah telah banyak memberi ketenangan kepada ana yang sering di landa masalah duniawi...Belum lagi ditimbang maslahah akhirat sane nanti...Ya Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Ampunilah dosa2 hamba mu yang hina ini...

Sumber:Asif, Ana xdpt kenal pasti sebab ambik video klipnya dari PC kawan je...

Wednesday, September 24, 2008

SELAMAT HARI RAYE...

LAILATUL QADAR


Salam Wasilah buat sahabat JunduALLAH...

Ana bersyukur kehadrat ilahi, kerana masih di beri nyawa untuk meniti Ramadhan yang tak lama lagi akan berakhir. Ana yakin semua sahabat ternanti-nanti Lailatul Qadar...walaupun ana tahu tahu sudah terlewat untuk wish sambutan 10 Ramadhan yang terakhir, akan tetapi ana berharap agar ana masih belum terlepas untuk menemui malam Lailatul Qadar ini. Jadi, buat sahabat dan sahabiah sekalian..berusahalah dan bertekadlah untuk kita sama-sama menemui LAILATUL QADAR yang diimpikan oleh semua insan yang masih bernyawa pada hari ini...

Wednesday, September 10, 2008

Cadangan Amalan Keluarga Di Bulan Ramadhan

Bulan yang penuh berkah dan rahmat datang lagi. Sebagai umat Islam, kita semua mestilah merebut peluang ini dengan sebaik-baiknya. Lakukanlah sebanyaknya amal soleh serta mempertingkatkan dan memperbanyakkan lagi amal ibadat pada bulan yang mulia ini. Di sini dikemukakan cadangan amalan yang boleh diikuti oleh kita semua.

Di bawah ini disenaraikan satu saranan program untuk umat islam di bulan ramadhan

  • Seorang yang beragama Islam memulakan harinya, dengan bersahur sebelum masuk waktu subuh. Lebih baik jika ia dapat dilewatkan beberapa ketika sebelum terbit fajar.
  • Selepas itu boleh bersiap sedia untuk mengerjakan solat subuh, berwudhuk di rumah dan berjalan ke masjid sebelum azan berkumandang
  • Selepas memasuki masjid, dirikanlah solat dua rakaat(tahiyatul masjid). Kemudian, duduk dan membaca doa atau membaca al-Quran atau berzikir sehingga azan dilaungkan. Cubalah menjawab azan yang dialungkan oleh muazzin dan membaca doa selepas azan. Kemudian, mendirikan solat sunat subuh dua rakaat. Selepas itu, jika masih ada masa terluang, bolehlah membaca al-Quran atau doa sehingga muazzin iqamah untuk mendirikan solat subuh berjemaah.
  • Selepas menunaikan solat subuh berjemaah, eloklah membaca zikir selepas solat. Kemudian, jika ingin terus duduk di masjid sehingga matahari naik, dia boleh berzikir atau membaca al-Quran kerana itulah amalan Rasulullah S.A.W selepas setiap kali solat subuh.
  • Kira-kira suku jam selepas matahari naik, sunat mendirikan solat dhuha sekurang-kujrangnya dua raakat. Jika tidak, boleh melengahkan solat sehingga masa yang dipilihnya ketika hari bertambah panas atau mahatari lebih tinggi.
  • Jika sesiapa terasa ingin tidur sebentar sebelum memulakakan kerja, berniatlah untuk memulihkan tenaga dalam beribadat dan mencari rezeki agar diberi pahala oleh ALLAH. Adalah dianjurkan untuk meniru cara tidur Rasulullah S.A.W.
  • Setelah semua itu selesai, bolehlah pergi bekerja dan apabila masuk watktu solat zuhur, disunnatkan pergi awal ke masjid dan bersedia untuk menunaikan solat zuhur berjamaah.
  • Mendirikan solat 4 rakaat(Solat sunat sebelum zuhur). Ia dilakukan dua rakaat diikuti salam, kemudian bangun dan menyambung lagi dua rakaat menjadikannya 4 rakaat beserta dua salam. Selepas mendirikan solat zuhur berjemaah, dirikanlah solat sunat selepas zuhur sebanyak 2 rakaat
  • Selepas solat, sempurnakanlah segala tanggungjawab ditempat kerja sehingga tiba waktu pulang. Jika masih ada masa terluang, bolehlan tidur sebentar sebelum tiba waktu asar. Jika bimbang terlepas melakukan solat asar berjemaah, bolehlah menyibukkan diri dengan sebarang aktiviti yang sesuai sehingga tiba waktu solat. Samaada pergi ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga atau terus ke masjid sehingga selesai mengerjakan solat asar.
  • Selepas asar, bolehlah melakukan sebarang aktiviti yang sesuai seperti membaca al-Quran atau sebagainya. Jika seseorang itu berasa penat, bolehlah berehat bagi mengembalikan tenaga untuk persediaan solat terawih pada sebelah malam.
  • Sebelum azan maghrib, bersiap sedialah untuk berbuka.Pada waktu itu, lakukanlah sesuatu yang berfaedah seperti berdoa atau berbual-bual dengan isteri dan anak-anak tentang perkara yang bermanfaat.
  • Salah satu amalan baik yang boleh dilakukan ialah mengambil bahagian dalam mengagihkan makanan kepada orang yang berbuka puasa. Ini adalah satu nikmat yang tidak diketahui ramai kecuali mereka yang telah melakukannya.
  • Selepas berbuka, bolehlah terus ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Dirikanlah solat sunat selepas maghrib 2 rakaat, kemudian bolehlah kembali ke rumah.
  • Diharuskan makan makanan yang masih terhidang tetapi jangan terlalu banyak. Kemudian, lakukanlah sebarang aktiviti untuk mengisi masa samaada dengan membaca buku atau berbual-bual tentang perkara yang diizikan bersama anggota kerluarga. Jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara haram pada waktu-waktu begini.
  • Pada waktu ini biasanya media elektronik menghidangkan program-program menarik yang mengandungi perkara-perkara yang tidak bermoral. Berusahalah untuk mengalih pandangan keluarga terutamanya anak-anak daripada perkara-perkara yang sia-sia.
  • Bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Seelok-eloknya pergilah ke masjid sebelum masuk waktu dan membaca al-Quran atau mendengar sebarang sebarang syarahan jika ada.
  • Selesai mengejarkan solat isyak, diikuti dengan solat sunat selepasnya, mulakanlah solat terawih bersama imam dengan penuh kusyuk serta menghayati ayat yang dibaca. Jangan berhenti selagi imam tidak berhenti. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
    • Sesungguhnya sesiapa yang berdiri(dan solat) bersama imam sehingga selesai, dicatatkan baginya seperti mengerjakan solat sepanjang malam. (Diriwayatkan oleh Abu Daud: 1370 dan lain-lain)

Selepas solat terawih, bolehlah merangka apa-apa program yang sesuai dengan masa dan keadaan serta keperluan peribadi seseorang. Walaubagaimanapun, beri penekanan perkara-perkara berikut:

1. Hindari perbuatan haram dan menutup semua pintu ke arah itu.

2. Pastikan keluarga tidak melakukan perkara haram dan menasihati mereka dengan berhikmah. Contohnya, menyediakan program khusus untuk mereka, membawa mereka melawat tempat yang diharuskan, mengelakkan mereka daripada berkawan dengan orang yang tidak berakhlak dan mencarikan mereka kawan yang berpekerti mulia.

3. Berusahalah untuk tidur awal mengikut cara tidur Rasulullah S.A.W. Selesaikanlah pembacaan al-Quran ataupun mana-mana buku yang belum dihabiskan pada hari itu.

4. Peruntukanlah masa yang cukup untuk bersahur. Berdoa sebanyak mungkin pada waktu ini kerana sepertiga akhir malam adalah masa ALLAH turun. Dia memuji mereka yang memohon keampunan daripadaNya. Dia juga berjanji akan mengabulkan doa dan menerima taubat hamba yang bertaubat kepadanya. Jadi, janganlah melepaskan peluang ini.

5. Pada hari jumaat di bulan ramadhan. Jumaat adalah hari terbaik di dalam seminggu. Jadi, kita hendaklah mempunyai jadual khas untuk beribadat pada hari ini. Cuba lakukan perkara berikut:

6. Datang awal ke masjid untuk mendirikan solat jumaat.

7. Berusahalah untuk berada di masjid selepas solat asar dan mengisinya dengan membaca al-Quran dan berdoa sehingga waktu-waktu terakhir hari itu. Pada masa inilah doa dimakbulkan.

Ambillah peluang pada hari ini untuk melengkapkan segala amalan yang tidak sempat disempurnakan sepanjang minggu.

8. 10 hari terakhir ramadhan. 10 hari terakhir meliputi malam al-Qadar yang merupakan malam terbaik daripada seribu bulan.Maka, disunatkan beriktikaf di dalam masjid pada masa ini sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Melakukan iktikaf pada waktu ini merupakan satu rahmat besar daripada ALLAH. Sesiapa yang tidak mampu melakukannya sepanjang 10 hari, cubalah dapatkan sebanyak yang termampu. Hidupkanlah malam ini dengan mendirikan solat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Sebaiknya berehat pada siang hari agar mudah berjaga pada sebelah malam.

9. Program ini hanyalah satu cadangan. Ia boleh diubah dan setiap orang boleh menyesuaikannya mengikut keadaan. Apa yang disenaraikan di sini lebih menumpukan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Ini tidak bererti setiap yang disebut di sini mesti dibuat dan diwajibkan. Ia hanya meliputi banyak perkara yang berbentuk sunnah dan amat digalakkan. Sebaik-baik amalan disisi ALLAH ialah yang berterusan sungguhpun sedikit. Pada awal bulan ramadhan lazimnya seseorang sangat cenderung melakukan amal ibadat, kemudian keghairahan menurun sedikit demi sedikit. Berjaga-jagalah dari keadaan itu dan bertekadlah untuk sentiasa beristiqamah pada bulan yang berkat ini. Umat Islam hendaklah berusaha untuk mengatur masanya dalam bulan ini agar tidak terelpas peluang untuk melakukan amalan soleh. Berusaha untuk membeli segala keperluan keluarga sebelum masuk bulan ini. Pilihlah waktu yang sesuai untuk melawat kawan dan saudara mara agar amal ibadat pada bulan ini tidak tergangu.

10. Beribadatlah sebanyak mungkin dan dekatkanlah diri kepada ALLAH.

11. Bertekadlah dari awal bulan untuk pergi ke masjid di awal waktu agar dapat mengerjakan solat berjemaah dan memperbanyakkan qiamullai serta bersedekah.

12. Ambillah sebaik peluang dalam bulan ramadhan untuk mengukuhkan hubungan dengan al-Quran melalui kaedah berikut:

o Membetulkan bacaan. Cara yang betul untuk memenuhi tuntuan ini ialah dengan mendapatkan seseorang yang pakar dalam membaca al-Quran atau mendengar kaset qari-qari yang terkenal.

o Mengulangi setiap ayat yang dihafal untuk meningkatkan daya ingatan.

o Membaca buku-buku tafsir, seperti Tafsir al-Baghawi, Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir al-Sa’di. Mulakan dengan juzuk ke-30 diikuti dengan juzuk ke-29 dan seterusnya.

o Bertekad untuk menyempurnakan segala tuntutan ALLAH sebagaimana yang terdapat dalam ayat yang dibaca.

Semoga ALLAH melengkapkan kepada kita keberkatan ramadhan dan membantu kita untuk mengerjakan ibadat puasa dan qiamullai sepenjang bulan. Juga menerima segala amalank kiita serta mengampunkan dosa yang kita lakukan.

Menyambut Roh Kemerdekaan Dan Ramadhan Dalam Satu Nafas

Tidak lama lagi akan bertemu dua tarikh yang penting buat umat.Tarikh yang mungkin menandakan pusat cetusan taufan perubahan buat mahasiswa. Pertemuan yang diharap menghasilkan gelombang pada paksi yang selari dan sejajar supaya natijahnya ialah gelombang membina, dan bukan pada satah positif dan negatif yang menghasilkan gelombang memusnah, mendatar dan kosong. Penghayatan jiwa kemerdekaan dan roh Ramadhan harus diadun dalam satu denyut nadi, dirasai dalam setiap tarikan nafas, dan dizahirkan dalam setiap gerak laku dan tindakan. Perubahan lazimnya tidak disukai oleh manusia, tetapi hakikatnya perubahan yang membentuk peradaban, perubahan yang membina ketamadunan dan perubahan yang menghasilkan manusia yang lebih berkualiti, rohani dan sosial, intelek dan moral, dunia dan akhirat.

Dengan kesedaran dan semangat ini maka wajib tanpa ragu kita menggunakan medan Ramadhan ini sebagai medan perubahan, dalam suasana kita memaksa diri menahan diri daripada sebarang bentuk maksiat zahir dan batin, dalam usaha kita menegah rakyat yang diamanahkan sebagai pinjaman kepada kita yang berupa anggota tangan, lidah, kaki, kemaluan, perut, mata dan kaki daripada tergelincir melakukan larangan, dan dalam suasana kita cuba melatih diri meningkatkan ibadah dan kualiti ibadah, menghayati erti pengabdian pada Sang Pencipta yang Maha Berkuasa menggerakkan perubahan dalam diri kita. Jika medan ini bukan medan pilihan untuk kita berubah, maka tidak akan datang medan yang lebih baik, dan jika di sini bukan peluang yang kita ambil untuk memperbaiki diri, jangan mimpi diri akan terbaiki.

Maka jika sudah subur keyakinan yang akar-umbinya menggapai hati yang kudus dan fikiran yang bersih untuk mula melangkah, suka saya mencantas semak-samun kekusutan bagi menerangkan laluan yang harus ditempuh. Saya meletakkan empat sasaran untuk kita capai dalam bulan tarbiyyah dan maghfirah ini;

  1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran thaghut
  2. Pembebasan total daripada puak oportunis
  3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u
  4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Suka saya menjelaskan halatuju yang digariskan satu demi satu;

1. Kemerdekaan hakiki daripada ajaran taghut

Mutakhir ini masyarakat sering dibingungkan oleh propaganda musuh yang disajikan dalam bentuk ilmiah. Kalau suatu masa dahulu Islam ditentang dengan melabelkan ia sebagai ekstrimis, teroris dan sebagainya, tetapi hari ini ia dipijak dengan langkah yang lebih halus, sehingga umat Islam turut sama menginjak agamanya tanpa disedari. Wabak baru ini hadir dalam bentuk ideologi-ideologi buatan manusia, isme-isme yang menjadi barah meracuni pemikiran yang kabur dengan agamanya sendiri. Antara ideologi yang kritikal dan ketara menimbulkan cacamarba ialah sekularisme, pluralisme dan liberalisme. Fahaman bahawa urusan dunia dan akhirat adalah asing, mencampur-aduk ajaran Islam dengan ajaran-ajaran lain dan menganggap bahawa kedudukan agama Islam adalah sama dan setara dengan agama-agama lain. Ideologi-ideologi ini harus dinyahkan daripada mengkontaminasi minda mahasiswa melalui pembentukan aqidah yang sahih, pembacaan bahan agama dan merujuk pada guru yang mursyid dan haraki. Minda yang dicemari akan terzahir melalui tindak-tanduk, dengan sukarnya kita menerima kebenaran, gemarnya pada maksiat dan perkara yang sia-sia, serta usaha menghalang dan menjatuhkan golongan yang mendokong panji-panji syiar Islam.

2. Pembebasan total daripada puak oportunis

Mahasiswa merupakan aset paling penting dalam sesebuah negara. Ini didasarkan atas sifat mereka yang dinamik, berpengetahuan, rasional, bersemangat waja dan berdarah muda. Keadaan ini mendorong puak yang bersifat oportunis cuba menggunakan mahasiswa untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu. Cengkaman ke atas mahasiswa cuba dilakukan melalui pelbagai cara, antaranya melalui doktrinisasi pemikiran, melahirkan suasana malas berfikir, pantauan 24 jam terhadap aktiviti kemahasiswaan, ugutan-ugutan kosong dan penyerapan anasir-anasir berbaur perkauman atau kepartian kepada mahasiswa. Mahasiswa perlu menyedari dan jelas bahawa idealisme mahasiswa adalah berpaksikan perjuangan untuk mahasiswa sendiri, bukan perjuangan mendokong politik kepartian tetapi merupakan perjuangan menjunjung politik nilai, atas dasar kasih pada agama dan negara. Kita mengorak langkah maju kehadapan bukan untuk memenuhi citarasa mana-mana pihak, kita meletakkan pendirian bukan untuk menyokong mana-mana puak, dan kita mengatur dan mencatur corak masa depan negara bukan untuk kepentingan kelompok tertentu, jauh sekali untuk kepentingan diri sendiri. Justeru mahasiswa perlu utuh dan teguh, menjadi sebahagian daripada gerakan revolusi ini, melewati saluran yang betul yang digariskan agama dan undang-undang, memobilisasi dan menggerakkan massa, ke arah menuju redha dan kejayaan yang kekal abadi.

3. Menghayati konsep setiap orang adalah madhu’u

Martabat dan nilai ilmu yang ada pada mahasiswa meletakkan mereka sebagai golongan yang berada di atas, golongan superior yang seharusnya mendidik dan bukan dididik, membentuk dan bukan dibentuk, merubah dan bukan terubah, penyelesai masalah dan bukan penyebab masalah, dai’e dan bukannya madhu’u. Mahasiswa seharusnya mula memandang keluar, berhenti mengharapkan empati untuk diri sendiri, menguis tepi permasalahan peribadi seperti masalah PTPTN, kolej kediaman dan kafe, dan tidak meletakkannya sebagai fokus atau tumpuan utama, malah menyerahkan urusan tersebut pada pihak yang bertanggungjawab, lalu membuka ruang pada diri untuk menyelami jerih-pedih dan sakit rakyat, mengesat airmata marhaen yang kadangkala mengharapkan tidak lebih daripada motivasi dan perhatian, bahu yang ikhlas buat tumpang menangis. Mahasiswa seterusnya perlu menjadi barisan paling hadapan dalam agenda membantu rakyat dan membangunkan umat, mencerna idea dan melontarkan saranan-saranan yang mampu memulihkan kepincangan yang berlaku, baik daripada aspek keagamaan, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

"Barangsiapa tidak mengambil tahu hal ehwal saudara seIslamnya, maka dia bukan dari golonganku." -Hadis

4. Menggali kekuatan daripada qiam dan quran

Untuk mencapai semua hasrat yang digariskan di atas, mahasiswa memerlukan kekuatan dan keberanian yang tak bisa dipadamkan oleh gerimis perjuangan, membujur lalu, melintang patah. Teras dan sumber kekuatan ini tidak ada lain melainkan hadir daripada hati yang sentiasa khusyuk dan tawadhu’ menjunjung suruhan Allah, keberanian yang dilahirkan daripada hamasah para rasul, sahabat dan tabi’in mendukung agamaNya. Maka mahasiswa hendaklah bermujahadah melakukan qiamullail, kerana tidak ada suara yang lebih didengari oleh Pencipta selain suara yang merintih sayu di kala makhluq yang lain sedang leka tidur, meratap dan memohon diberi kekuatan menentang musuh-musuhNya. Motivasi dan penawar duka tatkala terpijak duri di jalanan tidak ada yang lebih baik daripada ayat-ayat suci Al-Quran. Mahasiswa tidak boleh menjadi seperti tin kosong, berbunyi kuat tetapi mudah kemek apabila dipijak. Mahasiswa juga tidak boleh menjadikan manusia sebagai sumber kekuatan, kerana manusia bisa lari, tidak mengerah kekuatan daripada rasa marah dan semangat membuta tuli, kerana marah dan semangat bisa terpadam.

Akhir sekali, saya menyeru sahabat-sahabat mahasiswa agar kita memperkasakan langkah, mengembalikan gah dan izzah perjuangan ini dalam usaha menghayati erti kemerdekaan dan madrasah tarbiyyah Ramadhan yang sebenar. Ayuh, melangkah!

Andai langkah cuba kugagahi,

Kelak kan sampai pada destinasi.

Andai alasan yang ku cari-cari,

Mungkin ajal menjemput pergi.

KEMATIAN DAN RAMADHAN...


Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.

Iklan






Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.

Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya.

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.

Menghampiri Ramadan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Nurul Syafiqah, pada pagi 1 Ramadan, jam 8.15, tiga tahun lalu. Dalam usia 11 tahun, kematian Syafiqah, anak kedua kami, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, isteri dan empat anak yang lain ke penjuru satu dunia berbeza.

Ternyata kasih sayang buat anak kecil darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.

Ya, Ramadan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali,

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian anak kecil, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.

Benar sekali sabda nabi. Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu. Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini, walaupun Syafiqah kerap mengejutkannya. - mks._

Monday, September 1, 2008

Cinta Sejati

Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."

Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.

MORAL & IKTIBAR

  1. Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen
  2. Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah
  3. Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti
  4. Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu
  5. Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak
  6. Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.
  7. Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda
  8. Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah.

Kasih Sayang

Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.

Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “

Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)

Malah banyak lagi Hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:

1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.

2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.

3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri.

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan

Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.