Tuesday, January 12, 2010

~INDAHNYA TUDUNG VS HELMET SS195F~



“Macam-macam...nampak baik, dah bertudung litup, tapi perangai...huh!” kedengaran seorang pakcik mengeluh.
“Kalau macam tu lebih baik tak pakai tudung. Tak hipokrit!” sampuk seorang lelaki yang lebih muda di sebelahnya.
“Sebab tulah agaknya sekarang ada pihak yang beranggapan pakai tudung ni tak wajib. Malah haram pulak, pada sesetengah keadaan...” kata pakcik tadi membalas.
“Ha, ustaz, dari tadi diam saja. Ada apa-apa komen?” jolok lelaki muda yang duduk bersebelahan saya. Entahlah, kenapa dia memanggil saya “ustaz”, mungkin kerana songkok yang saya pakai agaknya.
Saya diam. Senyum, sambil melirik jam tangan. Lambat lagi. Bas yang ditunggu dijadualkan tiba setengah jam lagi. Bolehlah berbual panjang. Topik ini hot juga. Mungkin keletah dua orang gadis bertudung dengan pasangan masing-masing di bangku hadapan tidak jauh dari tempat kami duduk itu meransang muzakarah tidak rasmi itu, tanpa segan silu, dua orang gadis itu beraksi dengan gaya yang menjolok mata dengan pasangan masing-masing.
“Pakai tudung ni macam pakai topi keledar,” jawab saya perlahan.
“Aik, ke situ pulak? Kita bukan bercakap tentang keselamatan jalan raya tapi tentang akhlak, tentang moral.” Balas lelaki muda,

“Topi keledar menjaga keselamatan nyawa, tudung pulak menjaga keselamatan akhlak.”
“Oh, Kalau betul begitu, kenapa tudung tak dapat menyelamatkan akhlak wanita yang memakainya?” katanya sambil menjeling kepada kedua-dua gadis di depan.
“Sama seperti topi keledar juga. Ada keadaan-keadaan tertentu yang topi keledar pun tak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju dan pemandu cuai semuanya memakai topi keledar, tapi berkecai juga kepala bila dilanggar,” kata saya.
“Maksud ustaz?”
“Ada yang lebih penting dari sekadar topi keledar untuk menyelamatkan nyawa pemandu motorsikal. Antaranya, memandu secara berhati-hati, jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya, tidak mengantuk atau tidak memandu dalam keadaan mabuk.”
“Emm, apa kaitan semua tu dengan tudung?”
“Nak jaga akhlak tak cukup dengan hanya bertudung. Ada yang lebih penting lagi. Umpamanya, menjaga tingkah laku, tutur kata, pandangan mata, pergaulan, selain masa dan tempat wanita itu berada,” jawab saya.
“Cuba ustaz beri contoh…”
“Kalau hanya bertudung, tapi tingkah laku liar, pergaulan bebas, pandangan mata tak dikawal, keluar hingga jauh malam, berada di tempat maksiat, maka tudung pun takkan mampu untuk menjaga maruah dan akhlak si pemakai,” Kata saya.
“Kalau begitu, di mana kelebihannya bertudung ini?” sentak lelaki muda itu tiba-tiba.
“Macam pakai topi keledar juga. Ia memberi perlindungan, sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang, kekadang terjadi juga kemalangan. Bukan disebabkan kecuaian kita tapi kecuaian orang lain. Waktu tu siapa yang bertopi keledar mungkin kurang sedikit risikonya.”
“Tapi tudung sekarang macam-macam. Ada pelbagai fesyen…”
“Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mencapai piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar dah baik tapi cara pakai pulak tak kena, talinya dibiarkan longgar, atau main sangkut-sangkut saja.”

“Maksud ustaz?” Tanya pakcik tua yang semakin berminat.

“Pakai tudung dan tutup aurat ni adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang bertudung, tapi tak tutup aurat. Tutup aurat ada konsepnya, ada falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman, cara dan perlaksanaannya pula mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ni macam-macam. Mungkin niatnya nak glamour, nak cantik, nak bergaya…”

“Salahkah bertudung nak cantik? Kan islam tu indah?” balas lelaki muda.
“Tak salah tetapi bukan itu tujuan utama. Yang utamanya nak ikut perintah ALLAH. Atas dasar iman. Kemudian dibuat dengan menepati syariat. Mana yang patut ditutup, ditutup. Labuh dan singkatnya semua hendaklah menepati syariat. Dengan itu barulah terpelihara akhlak pada wanita yang menutup aurat. Dan selamat dia dari gangguan!” balas saya agak panjang.
“Tapi bagaimana pula orang yang kata bertudung tak wajib tu? Mereka kata, mereka ada dalil juga.”
“Orang yang kata tudung itu wajib pun ada dalil juga. Apa nak disusahkan?”
“Tapi orang yang pakai tudung kekadang pandang hina orang yang tak bertudung.” Usik lelaki muda.

“Orang bertudung mungkin boleh menghina orang yang tak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika benar-benar dia menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sesekali memandang hina kepada orang yang tidak bertudung,” balas saya.
“Macam mana kalau orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada orang yang tidak bertudung?”
“Bagi saya dia umpama orang yang memandu dengan baik, berhemat dan cermat tetapi tidak memakai topi keledar.”
“Tapi kalau dia rasa memakai topi...eh,eh...tudung tu tidak wajib? Macam mana?”
“Tak salah ikut ukuran dia. Tetapi tengoklah di mana langit dia pijak. Di mana langit dia junjung. Kalau di Malaysia ni, tak pakai topi keledar salah di sisi undang-undang. Sekalipun dia memandu dengan baik, tetap salah kalau tidak bertopi keledar!”



p/s: Perkongsian dari buku “Nota Hati Seorang Lelaki”

1 comment:

asrarqulub said...

Salam... Nice article, i want to copy them... Syukran...